Thursday, 28 January 2016

Kau Untukku...



Bagaimana terpisah dan bagaimana pula bertemu? Semua itu adalah sebahagian daripada kenangan dan pengalaman yang banyak mengajar kita untuk menghargai insan yang bebar-benar ikhlas mengasihi kita. Kenapa harus mengejar sesuatu yang tidak pasti kalau sudah ada insane yang sudi menghulurkan kasih yang tidak bertepi. Ikuti kisah kedua ini daripada saudari Nur Ariani, 25, yang kembali tersedar cintanya pada si dia.


Sejak di Bangku Sekolah


“Mengenali suami yang seusia sejak di bangku sekolah rendah lagi. Biarpun sekelas, kami jarang bertegur sapa disebabkan dia memang seorang yang pendiam. Kadangkala saya dapat rasakan dia seolah-olah tidak pernah sedar akan kehadiran saya. Jika dengan orang lain, saya mudah mesra dan bertegur sapa, tetapi berbeza dengan dia. Namun, kenangan yang tidak dapat saya lupakan tentang dia adalah saya pernah mengetuk kepalanya dengan penyapu kerana tidak menjalankan tugas harian untuk membersihkan kelas. Ketika itu, saya dilantik oleh guru sebagai ketua kebersihan kelas”, ujar Ariani anak kelahiran Perak ini.


“Setelah menduduki UPSR, dia ditawarkan ke salah sebuah sekolah asrama penuh di Kedah, manakala keputusan UPSR saya yang ala kadar ini hanya membataskan untuk saya terus belajar di sekitar Perak sahaja. Di situ, saya mula mencipta jurang sendiri kerana dalam diam saya menaruh perasaan terhadap dia. Bagi saya, mungkin di sana dia bertemu gadis yang lebih cantik dan sepadan dengannya. Lama-kelamaan, perasaan itu seolah-olah berkubur dan mungkin itu hanya dianggap cinta monyet,” akuinya yang begitu merendah diri.


Hanya Kawan Tetapi Tetap Mesra


“Hubungan kami tidak terputus begitu sahaja, biarpun kami tidak pernah meluahkan hasrat hati masing-masing. Setiap kali hari raya, jika ada kelapangan, dia bersama teman-teman yang lain akan berkunjung ke rumah saya. Tetapi, setiap kali itulah saya akan ingatkan diri ini bahawa dia datang ke rumah bukan sebab saya, tetapi kerana mengikut kawan-kawannya. Pun begitu, rutin setiap tahun dia pasti akan datang berhari raya di rumah saya,” cerita Ariani mengimbau saat lalu.


“Tatkala dia bertandang ke rumah, saya layan dia tidak lebih daripada seorang kawan. Malahan jika bertemu di pasar pagi, berdekatan rumah kami, ternyata kami hanya mampu curi-curi pandang sahaja. Hal ini berlarutan sehingga aku tamat STPM. Setelah tamat STPM, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di UPM, Serdang. Sementara itu dia sedang menuntut di UKM, Bangi. Sejak itu, hubungan kami kembali mesra apabila dia meminta nombor telefon saya untuk memudahkan perhubungan. Katanya jarak kami dekat, senang jika saya perlukan pertolongan


Sejak itu dia sering datang bertemu saya di hujung minggu di UPM. Kedatangannya pasti membawa bekalan makanan dan juga novel atas alasan kami dapat bertemu.” Ujar Ariani lagi.


Menolak Rasa Hatinya


“Masih kukuh dalam ingatan, suatu hari dia meluahkan perasaan untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius. Tetapi saya menolak, entah kenapa tetapi saya seolah-olah tidak dapat menerima dia lebih daripada seorang kawan. Setelah itu, dia cuba menjauhkan diri, merajuk agaknya. Saat itu, baru saya sedar bahawa saya amat memerlukan kehadiran dia. Hidup saya kembali sunyi apabila tiada lagi ‘SMS’ dan panggilan dari dia. Mulanya agak malu untuk mencarinya semula, tetapi saya usaha juga. Saya adakan kejutan hari jadi buatnya, semuanya atas saranan sahabat baik saya. Awal-awal lagi saya sediakan kad ucapan hari lahir untuknya. Saya nyatakan pada dia bahawa saya telah bersedia menerima kehadiran dia lebih dari seorang sahabat.


Alhamdulillah, Kembali Bersama…


“Akhirnya kami dipertemukan kembali. Dia akhirnya membuat pengakuan bahawa sejak dari bangku sekolah lagi dia menyimpan perasaan suka terhadap saya. tetapi sifat pemalunya membataskan segalanya. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh, masing-masing memendam rasa akhirnya kami disatukan juga dalam ikatan yang sah pada awal Januari tahun lalu,” ungkap Ariani tersenyum bahagia kini.


Artikel ini dipetik dari Majalah Dara.com

(99)

No comments:

Post a Comment